Sunday, August 23, 2009

Menyesal???

.

Sesal, Menyesal, Penyesalan

Saya faham Anda pernah menyesal. Apa yang kita sesalkan, tak akan berubah. sesalan kita tak akan merubah apa-apa. Tapi, usaha kita boleh merubahnya.

Apa yang dah berlaku, biarkanlah berlaku. Apa yang dah berlalu, biarkan berlalu. Fahami ia, fikirkan cara bagaimana Anda boleh buat yang terbaik darinya.

Kita tak boleh melawan arus hidup. Kita kena memahami arus hidup kita, kemudian jadikannya sebagai asas pemula untuk kita buat sesuatu dengan cukup baik. Biar kita berjalan seiring arus, mengintai peluang untuk kita muncul berjaya.

Arus hidup saya membuat saya berakhir menjadi seorang anak muda tanpa kerja bergaji, hanya ada sebuah laptop, sambungan internet, basikal lumba dan sukan renang.

Tapi, setiap hari saya tekad untuk melakukan semua yang saya buat dengan cukup bagus, hebat sekali. Saya tekad untuk belajar sepanjang masa, belajar memperbaiki kemahiran, belajar mengasah lagi apa yang saya dah tahu.

Belajar dan terus belajar. Berlatih dan terus berlatih. Saya tak pernah bersaing dengan sesiapa, saya set target dan berusaha keras mencapai target saya, itu saja.

Kita ada lebih banyak masa untuk membentuk masa depan bahagia dan gembira.

Masa lalu sudah tak boleh diubah. Tapi apa yang akan berlaku nanti, boleh diubah sedikit mulai saat ini.

Anda, saya bukan nak tunjuk pandai. Saya bukan pakar motivasi. Saya cuma anak muda yang tekad memperbaiki diri. Sebab? Saya nak maju dalam kerjaya, keluarga, kesihatan dan kewangan saya.

Saya percaya Anda mahukan sebab yang sama. Anda dan saya adalah sama, walaupun kita amat berlainan.

Menyesal satu perbuatan yang merugikan. Menyesal membuat kita mengingat semua kesilapan-kesilapan kita lalu menahan kita dari terus berusaha.

Tinggalkan sikap menyesal, tapi jadikan apa yang berlaku sebagai sejarah untuk Anda pelajari sesuatu daripadanya.

Hidup kita umpama sebuah kereta, berjalan di jalan raya. Kereta akan tetap bergerak meninggalkan destinasi lepas untuk menuju ke destinasi akan datang, dari destinasi A ke destinasi B.

Tangan Anda memusing stereng mengendalikan perjalanan kereta, seperti mana Anda mengendalikan perjalanan hidup Anda.

Menyesal umpama Anda berpatah balik menuju ke destinasi lepas yang sudah Anda tinggalkan.

Sudah tentu Anda tak suka, sesiapapun tak suka sebab membuang masa, membuang tenaga, membuang minyak kereta. Lebih baik jalan terus ke depan. Yang dah tertinggal, biarkan tertinggal dan usah diungkit lagi kerana sudah tertinggal, terlupa, tak terbawa.

Terimalah itu sebagai kesilapan Anda. Lebih baik lupakan.

Meneruskan perjalanan adalah perkara yang lebih penting.

Untuk apa menyesal dan apa perlunya menyesal?.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Join